BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, April 28, 2010

Pakaian Tradisional

Tradisi Asia Yang Menawan

Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.
Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.
Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih digunakan dengan meluas.

Melayu
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi, setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala
Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang.

Cina
Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.

India
Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.
Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India, terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung kepala yang sesuai warnanya.
Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.

Baba Nyonya

Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan baju yang dikenali sebagai lapik.

Portugis-Eurasian
Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini – mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.

Sarawak
Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok, bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak, pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.

Sabah
Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum mempunyai pakaiaAn serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa. Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang memakainya.

Orang Asli
Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan pelbagai corak.

Menara Berkembar Petronas

Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia ialah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Taipie di Taiwan. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20. Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur.

Menara Petronas yang direka oleh jurubina Cesar Pelli dari Argentina ini, siap dibina pada tahun 1998 setelah menelan masa tujuh tahun sehingga menjadi bangunan tertinggi di dunia sewaktu disiapkan.Menara ini dibina di atas tapak lumba kuda Kuala Lumpur. Kedalaman batuan dasar menjadikan bangunan ini dibina pada tapak yang paling dalam di dunia.Tapak sedalam 120 meter itu memerlukan sejumlah konkrit yang berlebihan untuk dibina dalam masa 12 bulan oleh Bachy Soletanche.

Menara setinggi 88 tingkat ini dibuat daripada konkrit bertetulang dengan muka bangunan buatan keluli dan kaca yang direka untuk menyerupai motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia. Satu lagi pengaruh seni Islam dalam bangunan ini ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk Rub el Hizb, ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat. Menara 1 dibina oleh konsortium Jepun yang dipimpin oleh Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina oleh dua kontraktor Korea Selatan, iaitu Samsung C&T dan Kukdong Engineering & Construction. Jejantasnya pula disiapkan oleh Kukdong.
Disebabkan kekurangan keluli serta kos pengimportan keluli yang mahal, menara berkembar ini didirikan atas konkrit bertetulang teramat kukuh bereka bentuk radikal yang murah sekali.


Konkrit yang amat kukuh dikenali ramai kontraktor Asia dan dua kali lebih berkesan mengurangkan gegaran berbanding keluli; however, oleh itu bangunan ini dua kali beratnya pada tapak berbanding bangunan keluli yang seumpamanya. Disokong oleh teras konkrit 23-kali-23 meter dan segelang luar tiang super yang beruang legar, menara-menara ini menggunakan sistem struktur canggih yang menampung profilnya yang langsing serta menyediakan ruang pejabat tanpa tiang seluas 560,000 meter persegi (669,754 ela ps). Di bawah menara berkembar ini ialah pusat beli belah Suria KLCC dan Dewan Filharmonik Petronas.

Menara Satu diduduki sepenuhnya oleh Petronas dan sebilangan anak syarikat dan syarikat sekutunya, manakala ruang pejabat di Menara Dua pula disewakan ke syarikat-syarikat lain Antara syarikat-syarikat yang mendirikan pejabat dalam Menara Dua termasuk Accenture, Al Jazeera, Carigali Hess, Bloomberg, Boeing, IBM, Khazanah Nasional Berhad, McKinsey & Co, TCS. HCL Technologies, Krawler Networks, Microsoft, The Agency (syarikat peragaan) dan Reuters.


Taman KLCC

Di bawah bangunan ini, terdapat sebuah Taman KLCC seluas 17 ekar (69,000 m²) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Suria KLCC ialah salah sebuah pusat beli-belah terbesar di Malaysia